Jumaat, 5 November 2010

Kata-Kata Aluan Guru Besar SK Durian Tipus



Menjamu selera di bandar Perlis,
Makanannya lazat tidak terhingga;
Assalamualaikum pembuka majlis,
Bismillahirrahmanirrahim pembuka bicara.

Assalamualaikum wbt.
Salam sejahtera.
Salam 1 Malaysia.


Syukur Alhamdulillah, dengan limpah kurnia dan inayah-Nya, akhirnya berkesempatan juga saya untuk menitipkan sepatah dua kata saya di dalam blog Cikgu Khamisah ini, dimana beliau merupakan sebahagian daripada komuniti SK Durian Tipus ini. Saya berasa cukup berbangga dengan tertubuhnya Blog Mari Belajar Bahasa Melayu Bersama Cikgu Khamisah ini. Langkah pembinaan blog pembelajaran ini menunjukkan bahawa guru-guru kita kini sudah maju selangkah ke hadapan dalam menghadapi dunia pendidikan seiring dengan perkembangan dunia teknologi yang cukup mencabar ini.

Warga pembaca blog sekalian,

Saya juga berharap suatu hari nanti, pengaplikasian ICT di dalam proses pembelajaran dan pengajaran menjadi satu rutin yang dilalui sepenuhnya oleh murid mahupun guru untuk menimba dan menyampaikan ilmu pengetahuan. Tidak dapat dinafikan bahawa banyak kelebihan dan kebaikan yang boleh didapati oleh guru dan murid apabila menggunakan kemudahan ICT dalam proses P dan P. Namun begitu, penggunaanya perlulah dikawal dan dipantau bukan sahaja oleh guru, tetapi ibubapa dan komuniti perlulah campur tangan agar anak-anak mereka melayari kemudahan Internet ini dengan cara yang betul.

Saya juga menyeru kepada semua guru SK Durian Tipus agar dapat menggunakan kemudahan Internet yang disediakan dengan cara yang betul serta mampu memberi banyak manfaat kepada murid-murid. Saya juga berharap agar setiap orang guru mempunyai blog pembelajaran masing-masing untuk digunakan oleh murid kelak. Ini kerana saya yakin, anak-anak pada zaman kini sudah mampu menggunakan aplikasi Internet ini lebih maju daripada kita. Oleh itu, cubalah mendidik dan membimbing mereka ke arah penggunaan yang betul seperti tertubuhnya Blog Mari Belajar Bahasa Melayu Bersama Cikgu Khamisah ini.

Akhir kata, saya memuji usaha Pn. Khamisah bt Yusof, Guru Penolong Kanan Akademik SK Durian Tipus membina blog pembelajaran ini dengan baik sekali. Teruskan perjuangan anda untuk memperjuangkan penggunaan ICT dalam proses P dan P. Kepada warga SKDT yang lain, gunakan kemudahan Internet dengan baik dan berfaedah. Saya berharap agar SK Durian Tipus dapat menjadi perintis kepada penggunaan aplikasi Internet sepenuhnya di dalam proses P dan P bagi kategori sekolah luar bandar. Sekian sahaja daripada saya. Terima kasih. Selamat Maju Jaya.


oleh : Tuan Hj. Abdul Tahrim b. Hj. Zakaria, Guru Besar SK Durian Tipus


Tiada ulasan:

Catat Ulasan