Khamis, 11 November 2010

Memperkaya Bahasa Anda

Isi tempat kosong dengan jawapan yang betul.


Latihan Kata Nama Secara Dalam Talian

Anda dikehendaki menekan pautan yang disediakan di bawah untuk menjawab soalan latihan berkaitan Kata Nama





Bandingkan skor yang anda perolehi dengan kawan-kawan anda!

Selamat Berjaya!

Mari Jawab Soalan Pemahaman

Baca petikan di bawah kemudian jawab soalan-soalan yang berikut.

Pak Abu mempunyai sebuah dusun buah-buahan. Dia menanam berbagai-bagai jenis buah-buahan tempatan seperti durian, rambutan, duku, langsat dan ciku di dusunnya. Dusun Pak Abu adalah seluas dua hektar. Pak Abu dibantu oleh dua orang anak lelakinya untuk menjaga kebun tersebut.

Tiap-tiap pagi , Pak Abu akan pergi ke dusunnya untuk menyiram pokokpokok buahnya. Dia membubuh baja pada pokok-pokok itu sebulan sekali. Pak Abu juga akan membungkus buah-buahan yang sedang masak dangan beg-beg plastik supaya tidak dimakan oleh burung dan tupai.

Penduduk kampung suka membeli buah-buahan Pak Abu kerana ia murah dan lazat. Kadang-kadang orang-orang dari bandar juga berkunjung ke dusun Pak Abu untuk menikmati kelazatan buah-buahan.

Soalan.

1. Apakah buah yang ditanam oleh Pak Abu ?
2. Siapakah yang membantu Pak Abu menjaga dusunnya ?
3. Mengapakah Pak Abu membungkus buah-buahan yang sedang masak ?
4. Mengapakah penduduk kampung suka membeli buah-buahan Pak Abu ?
5. Berapakah luas dusun Pak Abu ?


Simpulan Bahasa


LATIHAN SIMPULAN BAHASA

1- Walaupun telah berunding selama lima jam, mereka masih belum mendapat ___________ bagi menyelesaikan masalah yang rumit itu.

A jalan keluar
B jalan belakang
C jalan pintas
D jalan tengah

2- Oleh kerana Siti seorang yang sangat teliti, dia ____________ untuk menyiapkan kerja sekolahnya agar tidak melakukan kesilapan.

A mengambil peluang
B mengambil langkah
C mengambil berkat
D mengambil mesa

3- Kecantikan corak kain-kain batik itu menyebabkan pelancong Jepun itu _______ sehingga dia tidak tahu yang mana satu hendak dibelinya.

A gelap mata
B putih mata
C rambang mata
D Rabun mata

4- Budak yang ___________ itu tidak mengambil masa yang lama untuk memahami pelajaran yang sedang diajar.

A terang hati
B sampai hati
C cekal hati
D ada hati

4- Rahman merupakan ___________ pasukan Harimau. Tidak hairanlah segala kemahuannya dituruti.

A tulang belakang
B keras tulang
C ringan tulang
D tulang empat kerat

5- Sahabat yang baik tidak patut ____________ kawan di hadapan rakan-rakan yang lain.

A membuka tembelang
B membuka langkah
C membuka mulut
D membuka mata


Penjodoh Bilangan

Cari penjodoh bilangan di dalam teka silangkata yang berikut.

Latihan Membina Perkataan

Sila susun huruf-huruf berikut sehingga menjadi perkataan yang betul berdasarkan pembayang yang diberikan.
SELAMAT MENCUBA

Koleksi Persembahan Murid SK Durian Tipus Sempena Majlis Penutupan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat SKDT


Persembahan Tahun 2

Persembahan Tahun 4




Persembahan Tahun 3

Jumaat, 5 November 2010

Koleksi Soalan Bahasa Melayu UPSR


Tahun 2008





Tahun 2007


Bahasa Melayu Penulisan Kertas 2 - UPSR 2007

Ruangan Kenali Guru Bahasa Melayu SK Durian Tipus





Ketua Panatia Bahasa Melayu
Nama : Puan Zuraini bt Mohd Zainon
Kelas Yang Diajar : Tahun 5 dan Tahun 6
Kelulusan Akademik : Ijazah Sarjana Muda Bahasa & Linguistik Melayu
Kelulusan Ikhtisas : Diploma Perguruan Malaysia
Opsyen : PSR / Pengajian Melayu
Pengalaman Mengajar Bahasa Melayu : 13 tahun




Nama : Encik Mohd. Faizal bin Alias
Kelas Yang Diajar : Tahun 4
Kelulusan Akademik : Ijazah Sarjana Muda
Kelulusan Ikhtisas : Diploma Perguruan Malaysia
Opsyen : Kemahiran Hidup
Pengalaman Mengajar Bahasa Melayu : 2 tahun


Nama : Puan Habsah Surimah bt Hamzah
Kelas Yang Diajar : Tahun 3
Kelulusan Akademik : Ijazah Sarjana Muda Sastera Bahasa Melayu
Kelulusan Ikhtisas : Diploma Perguruan Malaysia
Opsyen : PSR / Pengajian Melayu , Kajian Tempatan
Pengalaman Mengajar Bahasa Melayu : 1 tahun



Nama : Puan Khamisah bt Yusof
Kelas Yang Diajar : Tahun 2
Kelulusan Akademik : SPM
Kelulusan Ikhtisas : Diploma Perguruan Malaysia
Opsyen : PSR / Pengajian Melayu
Pengalaman Mengajar Bahasa Melayu : 20 tahun



Nama : Puan Mawar bt Abu Samah
Kelas Yang Diajar : Tahun 1
Kelulusan Akademik : Ijazah Sarjana Muda Bahasa & Linguistik Melayu
Kelulusan Ikhtisas : Diploma Perguruan Malaysia
Opsyen : PSR / Pengajian Melayu
Pengalaman Mengajar Bahasa Melayu : 15 tahun



Nama : Puan Zakin Hasliza bt Zakaria
Kelas Yang Diajar : Prasekolah
Kelulusan Akademik : Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat
Kelulusan Ikhtisas : Diploma Perguruan Malaysia
Opsyen : Prasekolah
Pengalaman Mengajar Bahasa Melayu : 3 tahun


Nama : Puan Rosmah bt Silong
Kelas Yang Diajar : Pemulihan
Kelulusan Akademik : MCE
Kelulusan Ikhtisas : Diploma Perguruan Malaysia
Opsyen : PPAK (Am)
Pengalaman Mengajar Bahasa Melayu : 31 tahun

Kata-Kata Aluan Guru Besar SK Durian Tipus



Menjamu selera di bandar Perlis,
Makanannya lazat tidak terhingga;
Assalamualaikum pembuka majlis,
Bismillahirrahmanirrahim pembuka bicara.

Assalamualaikum wbt.
Salam sejahtera.
Salam 1 Malaysia.


Syukur Alhamdulillah, dengan limpah kurnia dan inayah-Nya, akhirnya berkesempatan juga saya untuk menitipkan sepatah dua kata saya di dalam blog Cikgu Khamisah ini, dimana beliau merupakan sebahagian daripada komuniti SK Durian Tipus ini. Saya berasa cukup berbangga dengan tertubuhnya Blog Mari Belajar Bahasa Melayu Bersama Cikgu Khamisah ini. Langkah pembinaan blog pembelajaran ini menunjukkan bahawa guru-guru kita kini sudah maju selangkah ke hadapan dalam menghadapi dunia pendidikan seiring dengan perkembangan dunia teknologi yang cukup mencabar ini.

Warga pembaca blog sekalian,

Saya juga berharap suatu hari nanti, pengaplikasian ICT di dalam proses pembelajaran dan pengajaran menjadi satu rutin yang dilalui sepenuhnya oleh murid mahupun guru untuk menimba dan menyampaikan ilmu pengetahuan. Tidak dapat dinafikan bahawa banyak kelebihan dan kebaikan yang boleh didapati oleh guru dan murid apabila menggunakan kemudahan ICT dalam proses P dan P. Namun begitu, penggunaanya perlulah dikawal dan dipantau bukan sahaja oleh guru, tetapi ibubapa dan komuniti perlulah campur tangan agar anak-anak mereka melayari kemudahan Internet ini dengan cara yang betul.

Saya juga menyeru kepada semua guru SK Durian Tipus agar dapat menggunakan kemudahan Internet yang disediakan dengan cara yang betul serta mampu memberi banyak manfaat kepada murid-murid. Saya juga berharap agar setiap orang guru mempunyai blog pembelajaran masing-masing untuk digunakan oleh murid kelak. Ini kerana saya yakin, anak-anak pada zaman kini sudah mampu menggunakan aplikasi Internet ini lebih maju daripada kita. Oleh itu, cubalah mendidik dan membimbing mereka ke arah penggunaan yang betul seperti tertubuhnya Blog Mari Belajar Bahasa Melayu Bersama Cikgu Khamisah ini.

Akhir kata, saya memuji usaha Pn. Khamisah bt Yusof, Guru Penolong Kanan Akademik SK Durian Tipus membina blog pembelajaran ini dengan baik sekali. Teruskan perjuangan anda untuk memperjuangkan penggunaan ICT dalam proses P dan P. Kepada warga SKDT yang lain, gunakan kemudahan Internet dengan baik dan berfaedah. Saya berharap agar SK Durian Tipus dapat menjadi perintis kepada penggunaan aplikasi Internet sepenuhnya di dalam proses P dan P bagi kategori sekolah luar bandar. Sekian sahaja daripada saya. Terima kasih. Selamat Maju Jaya.


oleh : Tuan Hj. Abdul Tahrim b. Hj. Zakaria, Guru Besar SK Durian Tipus


Profil Sekolah Kebangsaan Durian Tipus


Misi SK Durian Tipus


Kami Warga SKDT Akan Memastikan :-

Kurikulum / Kokurikulum Cemerlang & Terbilang, Sahsiah dan Disiplin Terpuji, Dalam Persekitaran yang Kondusif, Berteraskan Pengurusan dan Pentadbiran yang Telus, Berbantukan Komuniti yang Erat.


Visi SK Durian Tipus


Sekolah Kebangsaan Durian Tipus

CEMERLANG
&
TERBILANG

Dalam Daerah Jelebu Menjelang Tahun
2010



Lencana SK Durian Tipus


Bentuk :

· Mata pena dihelaian kertas – kewajipan menuntut ilmu.

Warna

· Biru - Keharmonian dan dedikasi pendidikan

· Merah - Usaha jaya ke arah kecemerlangan.

· Kuning - Naungan warna di Raja.

· Putih - Jiwa murni dan nilai moral yang luhur.

Lambang

· Buku dan Pena – Aktiviti kurikulum / akademik ke arah kejayaan 3M

· Obor dan 5 gelung – Aktiviti kokurikulum ke arah konsep “Malaysia Cergas”

Motto

· Disiplin - Menerapkan niali baik , murni dan mulia.

· Taqwa - Melahirkan insan seimbang

· Harmoni – Jalinan hubungan baik dan mesra.



Lagu SK Durian Tipus

Biru dan kuning tanda setia

Tekun rajin usaha

Merah tandanya gagah

Berani

Lambang kemegahanku

Kami penuntut SKDT

Berikrar dan berjanji

Bertekun

Belajar

Mencapai cita-cita

Bergerak dengan penuh semangat

Kejayaan matlamat

Jasa bakti kamikan curahi

Mendukung cita murni


Sejarah SK Durian Tipus


Sekolah Kebangsaan Durian Tipus seperti institusi-institusi yang lain membentuk catatan sejarah dan proses perkembangan tersendiri. Atas desakan naluri yang cintakan ilmu pengetahuan maka masyarakat setempat di kawasan Durian Tipus dan sekitarnya telah mengadakan muafakat bagi penubuhan sebuah sekolah di situ. Pada 28 Disember 1908 terbinalah sebuah sekolah yang diperbuat daripada bahan kayu hutan, papan dan beratapkan nipah hasil gotong-royong masyarakat setempat. Sekolah ini telah diberikan nama Sekolah Melayu Durian Tipus. Inilah sekolah yang pertama dibina di Mukim Teriang Hilir.

Guru Besar pertama di sekolah ini ialah Encik Itam B Abdullah. Jumlah murid pada ketika itu ialah seramai 34 orang sebagai perintis. Kekurangan dan kelemahan yang wujud ketika itu ternyata tidak melunturkan semangat serta hasrat murni masyarakat untuk menghantar anak-anak mereka menimba ilmu di sekolah ini. Tahun demi tahun , jumlah murid sentiasa bertambah. Kawasan persekitaran sekolah juga mula berubah dengan penerokaan masyarakat termasuk dalam kalangan peniaga bangsa cina. Penerokaan ini secara tidak langsung telah mewujudkan satu pekan kecil yang dinamakan Durian Tipus.

Reformasi pendidikan negara yang pesat ditingkatkan dari semasa ke semasa telah memberikan pelbagai kemudahan dan kemajuan infrastruktur sekolah serta struktur pentadbiran sekolah. Seterusnya, sekolah ini diubah nama dari Sekolah Melayu Durian Tipus kepada Sekolah Kebangsaan Durian Tipus.

Tanggal 21 Jun 1985 , bangunan baharu sekolah ini yang terletak kira-kira 750 meter dari tapak bangunan lama telah beroperasi . Kedudukan ini adalah bersebelahan dengan jalan raya yang menghubungkan pekan Simpang Durian ke Simpang Pelangai, Pahang. Sempadan Negeri Sembilan dan Pahang hanya 12km sahaja. Dengan berlatar belakangkan kehidupan masyarakat petani Melayu tradisional, sekolah ini terus menjadi unggul di kaca mata semua pihak.

Perjuangan murni guru-guru mendidik anak bangsa di sini tidak dapat disangkalkan lagi. Kejayaan demi kejayaan dalam semua bidang telah ditempa dan menjadi kenangan manis bagi warga SKDT. Kini sekolah ini diterajui oleh Tuan Hj Abdul Tahrim B Hj Zakaria sebagai Guru Besar yang ke-35.

Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat SK Durian Tipus

Rabu, 3 November 2010

Pengajaran di Sebalik 'Burung Murai'



Berdasarkan klip video iklan di atas, senaraikan 5 nilai murni yang boleh diperolehi daripada cerita tersebut.

Video Raya SK Durian Tipus



Guru SK Durian Tipus 2010